Download applikasi baca novel online untuk android disini: DOWNLOAD

Dibawah Lindungan Ka’bah 2

" Sampai hati abang memaksa aku?"

" Abang bukan memaksa engkau, adik ingatlah ibumu."

Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya pun terdiam, ia telah menangis pula. Karam rasanya bumi ini saya pijakkan, gelap tujuan yang akan saya tempuh. Dua kejadian yang hebat telah membayang dalam kehidupan saya sehari itu, tak ubahnya dengan seorang yang bermimpi mendapat sebutir mutiara ditepi lautan besar, sebelum mutiara itu dibawa pulang, tiba-tiba sudah tersedar; meskipun mata dipaksa hendak tidur, mimpi yang tadi telah tinggal mimpi, ia telah tamat sehingga itu tidak akan bertambah-tambah lagi.

Selama ini saya masih ragu, adakah Zainab membalas cinta saya; pertemuan saya dengan dia itu memberikan pengharapan sedikit pada saya, tetapi belum pengharapan itu dapat saya yakni tibalah penyerahan ibunya yang berat itu.

Hanya hingga itu dapat saya ceritakan kepada tuan apa yang terjadi sehari itu. Setelah itu saya pun pulang ke rumah saya, di jalan pulang saya rasakan badan saya sebagai bayang-bayang tanah serasa bergoyang saya pijakkan.

Bersambung.... BERJALAN JAUH

Dua kejadian yang berjuang pada hari itu, cukuplah untuk menentukan tujuan nasib saya; nikmat hati hanya lalu sebagai khayal belaka. Setelah melayap laksana satu bayangan, ia pun hilang dan tidak akan kembali lagi. Kepada Tuhan dapatlah saya menghantarkan satu kesyukuran yang bersih, sebab saya telah dapat memberikan suatu pengorbanan untuk seorang perempuan yang

lemah, saya telah menolongnya, memujuk anaknya yang keras.

Untuk itu perasaan hati sendiri telah saya tekankan; sungguh besar sekali korban yang saya berikan, memang kalau diukur dengan fikiran, saya ini hanya pantas menjadi saudara Zainab, menjadi pembelanya, tetapi cinta mempunyai suatu lapangan yang lebih luas daripada ukuran fikiran itu. Inilah yang tertulis dalam hati, yang sukar dilupakan selamanya. Ada suatu jawapan yang tergantung, yang saya sempat dengar dari mulut Zainab, dan keras persangkaan saya akan dirinya pada hari itu; itulah yang sentiasa menjadi penyakit pada saya, tetapi menjadi ubat juga.

Kemudian saya insaf, bahawa alam ini penuh dengan kekayaan. Allah menunjukkan kuasaNya. Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan menangis pun ada pula. Kita mesti mengukur perjalanan alam dengan ukuran yang luas, bukan dengan nasib diri sendiri.

Bukankah patut saya syukur dan terima kasih, sebab seorang perempuan tua dapat saya tolong, saya patahkan hati anaknya yang hanya satu tempat menumpahkan segala pengharapannya. Kalau kelak terjadi perkahwinan Zainab dengan kemanakan ayahnya dan mereka hidup beruntung, sehingga Mak Asiah waktu menutup mata tidak merasa bahawa ia masih ada hutang piutang dengan anaknya, bukankah saya telah mengusahakannya?

Memang, mula-mula hati itu mesti bergoncang; bukahkan loceng-loceng dirumah juga berbunyi keras dan berdengung jika kena pukul? Tetapi akhirnya, dari sedikit ke sedikit, dengung itu akan berhenti juga. Cuma saja saya mesti berikhtiar, supaya luka-luka yang hebat itu jangan mendalam kembali, saya mesti berusaha, supaya ia beransur-ansur sembuh. Untuk itu saya mesti berusaha, saya mesti meninggalkan Kota Padang, terpaksa tak melihat wajah Zainab lagi, saya berjalan

jauh.


Setelah saya siapkan segala yang perlu dan rumahtangga saya pertaruhkan kepada salah seorang sahabat handai yang setia, dengan tak seorang pun yang mengetahui, saya berangkat meninggalkan Kota Padang, kota yang permai dan yang sangat saya cintai itu, dengan menekankan dan membunuh segala perasaan yang sentiasa mengharu hati, saya tumpangi kereta yang berangkat ke Siantar.

Di kiri kanan saya banyak penumpang lain yang akan menuju ke kota Medan, setelah saya sampai ke Medan, saya buat surat kepada Zainab, sesudah hati saya, saya beranikan; itulah surat saya

yang pertama kali kepadanya. Jika kelak ternyata dia tak cinta kepada saya, syukur, sebab saya tak melihat mukanya yang kesal membaca surat. Tetapi kalau ia nyata ada mempunyai perasaan sebagi yang saya rasai dan surat itu diterimanya dengan sepertinya, tentu sekurang-kurangnya saya akan menerima belas kasihannya, sebagai seorang melarat yang diarak oleh untung nasib saya.

Demikian bunyi surat itu masih hafaz oleh saya:

" Menyesal sekali, kerana sebelum berangkat tak sempat saya bertemu muka dengan adinda lebih dahulu, maafkanlah adik, kerama amat banyak halangan yang menyebabkan saya tak sempat datang ketika itu, halangan yang tak sapat saya sebutkan.

Barangkali agak sedikit tentu adik bertanya juga dalam hati, apa gerangan sebabnya abang Hamid berangkat dengan tiba-tiba. Biarlah hal itu menjadi soal buat sementara waktu, lama-lama tentu akan hilang jua dengan sendiri.

Banyak hal-hal yang akan saya terangkan dalam surat ini, tetapi tak sanggup pena saya menulisnya. Hanya dengan surat ini saya bermohon sangat supaya adik menuruti cita-cita ibu. Jika kelak maksud famili sampai dan adik bersuami; berikan kepadanya kesetiaan yang penuh.

Akan hal diri saya ini, ingatlah sebagai mengingat seorang yang telah pernah bertemu dalam peri penghidupanmu, seorang sahabat dan boleh juga disebut saudara yang ikhlas dan saya sendiri akan memandang tetap engkau sebagai adikku.

Jika pergaulanmu kelak dengan suamimu berjalan dengan gembira dan beruntung, sampaikanlah salam abang kepadanya. Katakan bahawa di suatu negeri yang jauh, yang tak tentu tanahnya, ada seorang sahabat yang sentiasa ingat akan kita. Dan biarlah Allah memberi perlindungan atas kita semuanya.

Wassalam abangmu, Hamid,

Demikianlah bunyinya surat yang saya kirimkan. Tiada lama saya di Medan, saya menuju ke

Singapura, mengembara ke Bangkok, belayar terus memasuki tanah-tanah Hindustan, dan dari Karachi belayar menuju ke Mesir masuk ke Iraq, melalui Sahara Najad dan akhirnya sampailah saya ke tanah suci ini.

Sekarang sudah tuan lihat, saya telah ada di sini, di bawah lindungan Ka`bah yang suci, terpisah daripada pergaulan manusia yang lain. Di sinilah saya selalu tafakur memohon kepada Tuhan seru sekalian alam, supaya ia memberi saya kesabaran dan keteguhan hati menghadapi kehidupan.

Setiap malam saya duduk beri`tikaf di dalam Masjidil Haram, doa saya telah berangkat ke langit


biru, membumbung ke dalam alam ghaib bersama-sama permohonan segala makhluk yang makbul.

Segala ingatan kepada zaman yang lama-lama, dari sedikit beransur-ansur lupa juga. Cuma sekali-sekali ia terlintas difikiran, ketika itu saya menarik nafas panjang, kerana biar pun luka sembuh dengan kunjung, bekasnya mesti ada juga. Tetapi hilang pula dengan segera, bila saya bawa tawaf dan sa`ie(berjalan antara Safa dan Marwah), atau saya bawa bertekun di dalam masjid tengah malam. Sudah hampir datang tamaninah (ketetapan) ke dalam hati saya menurut persangkaan saya mula-mula, tamatlah cerita ini sehingga itu.

Bersambung....

BERITA DARI KAMPUNG

Setelah setahun saya di sini dan waktu mengerjakan haji telah datang. Tuan sendiri yang mula- mula saya kenal semenjak orang-orang yang akan mengerjakan haji dari tanahair kita. Kemudian sebagai tuan maklum, datanglah pula saudara kita Salleh ini. Salleh adalah salah seorang teman saya semasa kami bersekolah agama di Padang dan Padang Panjang; oleh kerana sekolahnya di Padang telah tamat, dia hendak meneruskan pelajarannya ke Mesir, ia singgah di Mekah ini untuk mencukupkan rukun. Sekarang ia berangkat ke Medinah, supaya sehabis haji dapat ia

menumpang kapal yang membawa orang Mesir kembali yang sewanya lebih murah dari kapal- kapal lain.

Dengan kebetulan sekali, dia telah memilih syeikh kita menjadi tempatnya, menumpang, sehingga sahabat lama itu bertemu kembali, setelah kami bercerai selama itu.

Wahai tuan….. kedatangannya telah menghidupkan ingatan kembali kepada yang lama-lama, dia menceritakan kepadaku, bahawa dia telah beristeri dan isterinya telah sudi melepaskan die belajar sejauh itu.

Padahal mereka baru saja berkahwin. Dipujinya isterinya sebagai seorang perempuan yang setia, yang teguh hatinya melepaskan suaminya berjalan jauh, kerana untuk menambah pengetahuannya. Setelah beberapa hari dia datang, dibawanya saya ke Maala di atas sebuah bangku di halaman qahwa ia membicarakan akan suatu hal yang sangat menggerakkan fikiran saya.

Sambil meminum syahi (teh) Arab yang panas dan enak, ia mulai berkata:

" Hamid! Tempoh hari sudah saya katakan, bahawa saya telah beristeri, isteri saya itu ialah

Rosnah..ingatkah engkau akan Rosnah, sahabat karib Zainab?"

Saya pucat mendengar nama Zainab disebutnya. Kerana sudah lama benar saya tiasa mendengar nama itu disebut orang, kecuali saya sendiri, perubahan muka saya itu dilihat oleh Salleh sambil tersenyum duka.

" Kerapkali isteriku disuruhnya datang kerumahnya" katanya meneruskan ceritanya. " Kerana hubungan persahabatan mereka itu yang karib. Rupanya Zainab telah sudi membukakan rahsia- rahsianya yang sulit kepada isteri saya. Yang paling hebat, ialah seketika pada suatu hari isteri saya datang ke rumahnya, didapatinya Zainab merenung sebuah album, di dalam album itu terkembang sehelai surat kecil yang telah lusuh dan lunak, kerapkali dibaca dan dibuka

lipatannya. " Setelah adinda kelihatan olehnya" kata isteriku," album itu ditutupnya dengan segera dan surat itu disimpannya baik-baik ke dalam laci mejanya, setelah itu dia kelihatan kepada

adinda dengan tenang, wajahnya muram, matanya berbekas tangis dan dia menarik nafas panjang".


" Tiada tahan rupanya hati isteriku melihat kejadian itu, maklumlah kaum perempuan itu seperasaan, lalu ia berkata: " Zainab!.... mengapa engkau menangis pula, sahabat? Tidakkah di rumah yang sepermai ini sarang orang yang berdukacita.Di rumah yang indah-indah dan gedung yang permai, yang di kiri kanannya dikelilingi oleh kebun-kebun yang subur, cukup dengan orang-orang gajian yang setia, tiadalah patut terdapat orang yang mengalirkan airmata. Disana tidaklah ada kesedihan dan kedukaan."

Zainab menjawab: " Salah sekali persangkaanmu, sahabat! Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun. Airmata adalah kepunyaan bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang yang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni gudang-gudang yang permai dan istana-istana yang indah. Bahkan di situlah lebih banyak orang menelan ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan, dilingkung oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang di luar penuh dengan kepahitan."

" Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas, dapat ia menerangkan fahamnya yang tertumbuk kepada alam yang sekelilingnya, dapat pula mereka lupakan dan menghilangkan. Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini, kedukaan akan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan seorang, rumah dan gedung menjadi kubur kesedihan yang tiada berhujung". Airmata Zainab kembali jatuh.

" Mengapa engkau menangis juga, sahabatku! Kesedihan apakah yang engkau tanggungkan? Teringatkah engkau kepada ayahmu? Kalau demikian, engkau salah, Zainab! Lupa engkau agaknya, bahawa kedukaan itu tumbuh diapit oleh dua rumpun kesukaan."

" Bukan demikian, sahabat!" jawabnya. " Buat diriku sendiri, Tuhan telah mentakdirkan berlainan dari orang. Kedukaanku tumbuh di antara dua kedukaan pula. Dahulu saya telah berduka,

sekarang berdukacita dan kelak akan terus berluka hati." " Engkau mengesali nasib, Zainab!"

" Menyesali nasib saya tidak, menyedar untung saya bukan, melainkan yang sebetulnyalah yang saya katakan."

" Zainab…. Kalau tidak akan merbahaya benar, nyatakanlah kepadaku, apa yang menjadi sebab

dukacitamu sebesar itu benar. Kerana sudah agak lama saya melihat mukamu muram, sehingga airmata saya sendiri kerapkali bersyarikat, tercurah untuk kesedihanmu, sahabat! Saya akan meratap menuruti ratap engkau, kerana tidak ada kepandaian kita kaum perempuan selain dari menangis."

Laksana seorang anak yang memohon dikasihani, dipeluknya Rosnah, seketika lamanya kedua sahabat itu berpeluk-pelukan, bertangis-tangis tiada berkata-kata.

" Sudahlah, zainab, ingatlah akan dirimu, kelak engkau, demikian pun saya, ditimpa oleh penyakit lain. Ceritakanlah kepada saya hal yang engkau rahsiakan itu, mudah-mudahan kerana sesudah ada tempat menerangkan, tanggungan itu supaya ringan sedikit, sebab beban untuk sendiri telah dibahagi dua." Mula-mula termenung, setelah beberapa saat lamanya ia pun berkata:

Bersambung....

HARAPAN DALAM PENGHIDUPAN

" Ingatkah engkau, Ros, bahawa duhulu ada tinggal berhampiran rumahku ini seorang anak muda bernama Hamid?" " Masihkah aku tak ingat, anak muda yang baik budi dan beroleh pertolongan daripada almarhum ayahmu." " Ah, Ros, saya amat kasihan kepada orang muda itu, dia seorang muda yang hidup miskin, mendapat bantuan daripada ayahku, semasa usianya baru 4 tahun

ayahku yang membantunya, dan seketika sekolahnya akan lanjut, ayahku meninggal pula,


kemudian meningal ibunya. Rupanya kerana ia sentiasa dirundung malang, sangatlah dukacita hatinya, berbulan-bulan khabar tidak berita pun tidak, budinya baik sekali, pekertinya tinggi dan mulia; memang dalam kalangan orang-orang yang dirudung malang itu kerapkali timbul budi pekerti yang mulia, timbul dengan baik dan suburnya, bukan kerana latihan manusia.

" Bertahun-tahun lamanya kami hidup seperti adik beradik; maka pada dirinya saya dapati beberapa sifat yang tinggi dan terpuji, yang agaknya tidak ada pada pemuda-pemuda lain, baik dalam kalangan bangsawan atau hartawan sekalipun. Sampai kepada saat yang paling akhir daripada kehidupan ayahku, belum pernah ia menunjukkan suatu perangai yang patut dicela, sehingga ibu-bapaku amat memuji akan dia. Ia tahu benar akan kewajipannya. Wahai Ros, saya tertarik benar kepadanya dan kepada tabiatnya. Ia suka sekali bersunyi-sunyi, memisahkan diri daripada pergaulan ramai, laksana seorang pendita bertapa yang benci akan dunia lata ini. Kerapkali ia pergi bermenung ke tepi pantai samudera Hindi yang luas itu, memerhatikan pergelutan ombak dan gelombang, seakan-akan fikirannya terpaku telah terpaku kepada keindahan alam ini. Bila dia pulang ke rumah ibunya yang dicintai, ia menunjukkan khidmatnya dengan sepertinya bila dia bertemu dengan saya, buah katanya tiada keluar dari lingkar kesopanan, tahu ia menimbang hati dan menjaga kata.

Sebagai yang kau tahu, kita pun tamat dari sekolah, maka adat-istiadat telah mendinding pertemuan kita dengan lelaki yang bukan muhrim bukan saudara atau famili karib, waktu itulah saya merasai kesepian yang sangat. Saya merasa kehilangan seorang teman yang sangat saya takjupi. Keadaan memisahkan saya dengan dia, tiada dapat lagi saya mendengarkan buah tuturnya yang lemah lembut. Waktu itulah saya insaf, bahawa saya sudah ditimpa suatu perasaan yang ganjil, saya lengang dan sunyi, ingatan saya sebentar-sebentar kembali kepada Hamid saja.

" Engkaukan tahu, Ros, Hamid tidak begitu gagah, tidak sepantas dan segalak pemuda lain, tetapi hati kecilku amat kasihan kepadanya, agaknya, hidupnya yang sederhana itulah yang telah memaut hati sanubariku. Saya sangat hiba kepadanya kerana saya merasa tak ada orang lain yang akan menghibai dirinya. Hairan Ros, saya telah karam di dalam khayal, di dalam angan-angan.

Kadang-kadang saya singkirkan dia dari fikiran, kerana timbul memikirkan takburku memikirkan darjatku, saya merasai ketinggian dan kemuliaan diriku, lebih daripada kedudukan darjat Hamid dan saya takut terjatuhnya ke dalam jurang cinta, tetapi orang mengkhabarkan bahawa takut itupun setengah daripada rupa cinta juga."

Maka di antara awan yang gelap gelita dan angin badai yang berhembus semenjak pertengahan malam, tiba-tiba cahaya fajar pun naiklah, itulah kenang-kenangan dan pengharapan, daripada cinta dan rindu dendam. Sebenarnya Ros…..saya cinta kepada Hamid.

Biar engkau tertawakan daku, sahabat, biar mulutmu tersenyum simpul, saya akan tetap berkata, bahawa saya cinta kepada Hamid. Ia tidak berpembela, tidak ada orang yang akan sudi menyerahkan diri menjadi isterinya, kerana dia miskin, tidak ada gadis yang akan sudi mempedulikan dia, kerana rupanya tak gagah. Itulah sebabnya dia saya cintai, hartaku ada sedikit, cukup untuk membantu cita-citanya, kerana saya lihat dia akan menjadi seorang ahli seni jika ada yang membantu. Buat saya dialah orang yang paling pantas dan cekap. Meskipun bagi orang lain agaknya tidak. Saya leluasa melihatnya lalu lintas di halaman rumah, meskipun dia tak melihat saya. Jika sekali-sekali dia datang mengunjungi ibuku, aku dengarkan perkataannya yang penuh dengan ilmu dan pengetahuan itu baik-baik.

Pada suatu hari, hari yang tak dapat saya lupakan, ia datang kerumah ini menemui ibuku. Ketika itu ibu tiada di rumah, tiba-tiba saya bertemu muka dengan dia. Rupanya ada perkataan yang


hendak dikatakannya, mulutnya masih gugup dan tak lancar, rasa-rasa terdengar olehku sekarang: " Zainab, sebenarnya tidaklah pernah saya lupa hendak datang kemari, barangkali engkaulah yang agak lupa kepadaku."

Alangkah nikmatnya rasa hatiku mendengar perkataannya itu, tetapi belum sempat saya menyusun kata untuk menjawab, ibu datang, perkataan kami terhenti sehingga itu. Badanku serasa bayang-bayang perkataannya menjadi teka-teki bagi hatiku, adakah tutur katanya itu daripada rasa pertalian adik dan abang saja atau daripada kesucian cinta?

" Agaknya, engkau pandang rendah saya ini, Ros, mencintai seorang yang tiaa bersekedudukan dengan diri sendiri, dan jauh tak tentu tempatnya."

" Waktu itu isteriku menjawab," kata salleh, ujarnya: " Tidak Nab, cinta itu adalah perasaan yang mesti ada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci, Cuma tanahnya lah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain perangai yang tercela. Tetapi kalau ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budipekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji. Saya tiada hendak menghinakan engkau kerana jatuh cinta padanya, wahai sahabatku Zainab, dan saya banyak pula membaca dalam buku-buku, bahawa biasa cinta yang suci bersih itu tidaklah tumbuh dengan sendirinya, kerana jiwa itu bertemu dengan batin, dalam azal (baka) kejadian Allah sebelum badan kasar manusia ini berkenalan. Itulah kuasa ghaib yang perlu kita percayai. Sebab itu saya percaya bahawa cintamu tak jatuh ke pasir tentu saja Hamid mencintai engkau pula; tidaklah jiwa engkau tertarikh mengingat akan dia, kalau kiranya jiwanya tak mengingat engkau pula. Hati orang yang bercinta mempunyai mata, ia dapat melihat barang yang tak dilihat oleh orang lain."

" Ah" jawab Zainab " Itu Cuma kira-kira dan agak-agak belaka, agak-agak dan kira-kira tak dapat dipercayai, masakan orang yang berpisah sangat jauh, tak berhubungan surat sedikit jua pun akan ingat kepada orang yang ditinggalkannya."

" Jangan begitu, Zainab, engkau tiada percaya percakapanku, kerana hatimu terlalu dipengaruhi oleh angan-anganmu. Percayalah bahawa Hamid ingat pula akan engkau."

" Wahai……kesana rumit..ke sini rumit, Ros; saya percayai bahawa dia ingat kepadaku sebagaimana saya ingat kepadanya, entah agaknya saya menggantang-gantang asap. Tidak saya percayai, hati saya bertambah luka. Saya tahu mengingat orang jauh itu penyakit, tetapi saya pun takut penyakit itu akan hilang dari hati saya….aduh gusti Allah!!"

Setelah itu terhenti sendiri percakapan kedua sahabat itu. Yang kedengaran hanya sedu-seduan dua orang seperasaan dan yang kelihatan ialah orang yang keluh kesah putus asa."

Sekianlah cerita yang dibawa oleh sahabat kita Salleh itu. Tidak berapa lama ia menerima riwayat ganjil itu dari isterinya, ia pun berangkat. Rupanya dengan takdir Tuhan, kami pun bertemu di tanah suci ini, pertemuan yang tidak di sangka-sangka sedikit pun.

" Barangkali terganggu perjalanan jiwamu menuju bakti kesucian kerana mendengar berita yang saya bawa itu" kata Salleh. " Tetapi saya sebagai orang yang tiada tahan memegang rahsia sehingga terkatakan juga olehku kepada engkau, dan beruntung engkau Hamid…..Berbahagia sekali."

" Apakah keuntungan dan bahagianya cinta yang tak berpengharapan? " Tanya saya dengan tiba- tiba kepadanya.


" Bukanlah cinta itu sudah satu keuntungan dan satu pengharapan Hamid?" Tanyanya pula…..

Setelah itu saya menerangkan berita itu, tidak berapa hari kemudian Salleh mengirimkan sepucuk surat buat isterinya Rosnah menerangkan pertemuan kami dengan tiba-tiba itu…..

Tuan!….telah bertahun-tahun saya berjalan di dalam gelap gelita. Tidak tentu arah yang saya tempuh, tidak kelihatan suatu bintang di halaman langit akan saya jadikan pedoman dalam menuju perjalanan itu demi setelah sampai berita yang demikian. Seakan-akan kegelapan itu terang sedikit ke sedikit, sebab dari Timur melintang cahaya fajar, cahaya yang saya nanti-nanti, cahaya itu lebih benderang dari cahaya suria, lebih nyaman dari cahaya bulan dan lebih dingin dari cahaya kelap-kelip bintang-bintang.

Saya hidup laksana seorang buangan yang tersisih pada suatu padang belantara yang jauh laksana seorang bersalah besar yang dibuang negeri, tiada manusia yang datang menengok, tidak ada famili yang melihat, ditimpa oleh haus dan dahaga, sekarang saya telah lepas dari pembuangan, saya telah dibolehkan pulang dan beroleh ampun, telah ada manusia yang lalu-lintas, telah hilang haus dan dahaga, sekarang baru saya tahu dan mengerti, bahawa sukacita itu ada juga dijadikan Tuhan di dalam dunia fana ini.

Dahulu kalau disebut orang kepada saya untung dan bahaya, tidak lain yang terlintas dalam fikiran saya daripada rumah yang indah, gedung yang permai, wang berbilang, emas bertahil, cukup dengan kenderaan dan kehormatan, dijunjung orang ke mana pergi. Sekarang saya telah insaf, bahawa semua itu bukan untuk bahagia, yang sejati ialah jika kita tahu, bahawa kita bukan hidup terbuang di dalam dunia ini, tetapi ada orang yang mencintai kita.

Lebih setahun saya menghilangkan diri, tidak ada orang lain yang bertanya hal ehwal saya dan saya pun tak bertanya hal ehwal orang lain. Segala kesakitan hidup telah saya tanggungkan. Ada juga orang yang menyatakan kasihan, ada orang yang lalu lintas di hadapan saya, sambil menggelengkan kepala. Tetapi bukanlah mereka mengasihi jiwa saya, mereka mengasihi tubuh kasar saya yang kurus tak makan atau ditimpa penyakit. Semuanya tiada erti buat saya. Sekarang barulah saya tahu diri saya ada harganya buat hidup, sebab ada orang yang mencintai saya, iaitu orang yang saya cinta.

Dahulu saya telah putus asa hendak hidup, kadang-kadang terlintas di dalam hati saya hendak membunuh diri. Akan sekarang, wahai tuan, saya hendak hidup, hendak merasai kelazatan cahaya matahari sebagai orang lain pula, sebab pengetahuan hidupku telah ada.

************ ********* ************

Habislah cerita sahabatku Hamid hingga itu, mukanya kelihatan berseri-seri, sebab simpanan di dadanya meluap selama ini telah dapat ditumpahkannya kepada orang yang dapat dipercayainya.

Waktu itu saya menjawab sambil bergurau sedikit: " InsyaAllah, habis mengerjakan haji saya akan lekas kembali pulang, mudah-mudahan kita dapat pulang bersama-sama."

Iapun menjawap sambil tersenyum " Mudah-mudahan………"

Bersambung.... SURAT-SURAT

Sepuluh hari sebelum orang-orang haji berangkat ke `Arafah mengerjakan wuquf jemaah-jemaah


telah kembali dari ziarah besar ke Madinah. Waktu itulah pula Salleh kembali ke Mekah. Surat balasan dari isterinya yang datang sepeninggalannya ke Madinah telah kami serahkan ke tangannya. Dalam minggu itu juga datang surat Zainab kepada Hamid.

Salinan surat Rosnah. Kandaku tuan!

Surat kekanda telah adinda terima, surat yang telah lama adinda harap-harapkan…. Disini ada

beberapa perkataan lagi- isteri (yang tak perlu saya salin)

Akan hal Zainab ia sekarang sakit-sakit, badannya telah kurus agaknya kerana selalu ingat segala kejadian yang lama-lama itu, adinda, tiada dapat menahan hati, melihat surat kekanda kepadanya. Seketika membaca surat itu, badannya kelihatan gementar, entah kerana cemasnya entah kerana harapannya, dapatlah kekanda maklumi sendiri. Ia sangat harap dan sangat rindu hendak bertemu dengan Hamid, tetapi hatinya menjadi syak wasangka memikirkan badannya yang selalu tiada sihat itu, entah akan bertemu juga entah tidak.

Alangkah beruntungnya dua orang bersahabat itu kelak, jika mereka dapat bertemu kembali. Ya, mudah-mudahan Allah yang pengasih lagi penyayang mengkabulkan permohonan hambaNya, Amin!

Rosnah.

Salinan surat Zainab

Abangku Hamid!

Baru sekarang adinda beroleh berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggalan yang empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri. Agaknya adinda telah bersalah besar sehingga kekanda pergi tak memberitahu dahulu.

Sayang sekali, pertanyaan abang belum adinda jawab dan abang hilang sebelum mulutku sanggup menyusun perkataan penjawabnya. Kemudian itu abang perintahkan adinda menurut perintah orang tua, tetapi adinda syak-wasangka melihatkan sikap abang yang gugup ketika menjatuhkan perintah itu.

Wahai abang…. Pertalian kita diikat oleh beberapa macam tanda Tanya dan tekateki, sebelum terjawab semuanya, kita telah berpisah dengan tiba-tiba. Memang demikiankah kehendah takdir?

Adinda sentiasa tiada putus pengharapan, adinda tunggu khabar dan berita. Di balik tiap-tiap kalimah daripada suratmu. Abang!....surat yang terkirim dari Medan, ketika abang akan belayar jauh, telah adinda periksa dan adinda selidik; banyak sangat surat itu berisi bayangan, di balik yang tersurat ada yang tersirat. Adinda hendak membalas tetapi kearah manakah surat itu hendak adinda kirimkan, abang hilang tak tentu rimbanya!

Hanya kepada bulan purnama di malam hari adinda bisikkan dan adinda pesankan kerinduan adinda hendak bertemu. Tetapi bulan itu tetap tak datang; pada malam yang berikutan dan seterusnya ia kian kusut….. hanya kepada angin petang yang berhembusan di ranting-ranting kayu di dekat rumahku, hanya kepadanya ku bisikkan menyuruh supaya ditolongnya memeliharakan abangku yang berjalan jauh, entah di darat di laut entah sengsara kehausan.


Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu adinda terima selama hidup adinda tumpahkan airmata, kerana hanya menumpahkan airmata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meski pun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya.

Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari entah besok petang, gerak Allah siapa tahu, besarlah pengharapanku supaya abang dapat pulang, dapat juga hendaknya kita bertemu…..

dan jika abang terlambat pulang, agaknya bekas tanah penggalian, bekas air penalkin dan jejak mijan yang dua, hanya yang akan abang dapati.

Adikmu yang tulus: Zainab.

Wahai, akan dapatkah dilukiskan, dapatkah diperikan bagaimana wajah Hamid ketika membaca surat itu? Dapatkah, mungkinkah dikira-kirakan bagaimana perasaannya di waktu itu? Surat demikian adalah pengharapannya selama ini, pengharapannya dan buah mimpinya semasa ia masih bergaul, memikirkan kerendahan darjatnya, tiadalah disangka-sangkanya bahawa ia akan seberuntung itu, menerima surat dari Zainab, belumlah besar kegembiraan seorang budak jika ia diajak tersenyum oleh penghulunya; belumlah besar sukacita seorang pelayan istana jika ia dianugerahi sebentuk cincin oleh rajanya. Surat tanda cinta dari seorang perempuan, perempuan yang mula-mula dikenal dalam penghidupan seorang pemuda, adalah lebih berharga kepada senyuman seorang penghulu daripada budaknya yang lebih mulia daripada sebentuk cincin yang dianugerahkan raja kepada pelayannya. Satu hati, adalah lebih mahal daripada senyuman, satu jiwa adalah lebih berharga daripada sebentuk cincin.

Tetapi malang kerana surat itu diterima Hamid, ketika dia telah jauh dari hadapan Zainab. Apa lagi manusia tidak dapat menentukan nasibnya sendiri.

DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH

Pada hari kelapan Zulhijjah perintah daripada syeikh kami menyuruh menyiapkan segala keperluan untuk berangkat ke `Arafah, kerana pada hari kesembilan akan wuquf (Berhenti sehari lamanya) di sana. Berangkat itu ialah tiga hari setelah kami menerima surat tersebut.

Akan hal Hamid, bermula menerima surat itu tidaklah berkesan pada mukanya, bahawa dia dipengahruhi oleh isinya, tetapi setelah sehari dua hari, kelihatan ia termenung saja, bertambah daripada biasa, ketika kami tanyai keadaannya, ia mengatakan, bahawa badannya terasa sakit- sakit. Tetapi oleh kerana pergi wuquf ke `Arafah menjadi rukun daripada mengerjakan haji, tak dapat tidak ia pun mesti ikut ke sana. Maka dipasanglah sakdup-sakdup di punggung unta yang beribu-ribu banyaknya. Bersedia hendak membawa orang haji ke `Arafah itu. Kira-kira pukul empat petang, jemaah-jemaah telah berangkat berduyun-duyun menuju ke `Arafah, jalan sempit dan penuh oleh manusia dan kenderaan berbagai-bagai, ada yang mengenderai keldai, kuda dan unta, tetapi yang paling banyak duduk dalam sakdup iaitu dua buah tandu yang dipasang kiri kanan punggung unta. Saya bersama dengan Hamid menumpang dalam satu sakdup.

Di `Arafah sangat benar panasnya, sehingga ketika berhenti di tempat itu sehari lamanya, kita ingat-ingat akan berwuquf kelak di padang Mahsyar. Setelah matahari terbenam kami kembali


menuju ke Mina, berhenti sebentar di Muzdalifah memilih batu untuk melempar " Jumrah" di

Mina itu kelak. Setelah berdiam di Mina pada hari yang ke sepuluh, ke sebelas, kedua belas,

ketiga belas, bolehlah kembali ke Mekah mengerjakan tawaf besar dan Sai`e, setelah itu bercukur, sehabis bercukur baru disebut " haji".

Pada perhentian besar di Mina itu, orang-orang yang kaya menyembelih korban untuk fakir dan miskin.

Sekarang kembali diceritakan keadaan Hamid. Demamnya yang dibawa dari Mekah bertambah menjadi-jadi, lebih-lebih setelah mendapat hawa yang panas di `Arafah itu. Di sana banyak orang yang mati kerana kepanasan. Hamid tak mahu lagi makan, badannya sangat lelah, sehingga seketika berangkat ke Mina ia tiada sedarkan dirinya, demi melihat hal itu, jantung saya berdebar- debar, saya kasihan kepadanya. Kalau-kalau di tempat itulah dia akan bercerai buat selama- lamanya dengan kami, lebih-lebih melihat mukanya yang sangat pucat dan badannya yang sangat lemah.

Setelah selesai penyembelihan besar itu, pada hari yang ke sebelas kami berangkat ke Mekah, iaitu mengerjakan rukun yang agak cepat, tidak menunggu sampai tiga hari. Sebelum mengerjakan tawaf besar itu, lebih dahulu kami singgah ke rumah kami. Kerana penyakit Hamid rupanya bertambah berat, terpaksalah kami mencarikan orang Badwi upahan, yang biasanya menerima upah mengangkat orang sakit mengerjakan tawaf. Sebelum Hamid diangkat ke atas bangku itu, yang diberi hamparan daripada kulit dahan kurma berjalin, khadam syeikh datang terburu-buru menghantarkan sepucuk surat dari Sumatera, setelah kami buka, ternyata datangnya dari Rosnah. Muka Salleh menjadi pucat,jantung saya berdebar-debar membaca isinya yang tiada sangka-sangka, Zainab telah meninggal, surat menyusul, Rosnah.

Setelah dibacanya dengan sikap yang sangat gugup Salleh menyimpan surat kawat itu ke dalam sakunya, sambil memandang kepada Hamid dengan perasaan yang sangat terharu.

Tiba-tiba dari tempat tidurnya Hamid kedengaran berkata; " Surat apakah yang tuan-tuan terima? Apakah sebabnya tuan-tuan sembunyikan daripadaku? Adakah ia membawa duka atau khabar suka? Jika ia khabar suka, tidakkah patut saya diberi sedikit saja daripada kesukaan itu? Kalau khabar itu mengenani diri saya sendiri lebih baik tuan-tuan terangkan kepada saya lekas-lekas, tidaklah patut tuan-tuan sembunyikan lama-lama jangan dibiarkan saya di dalam sakit menanggung perasaan yang ragu-ragu."

" Tenagkanlah hatimu, sahabat! Kehendak Allah telah berlaku, ia telah memanggil orang yang dicintaiNya ke hadratNya."

" Oh, jadi Zainab telah dahulu daripadaku? " tanyanya pula. " Ya, demikianlah, sahabat!"

Mendengar jawapan itu kepanya tertekun, ia menarik nafas panjang, dari pipinya meleleh dua titik airmata yang panas.

Tidak beberapa saat kemudian, datanglah Badwi tersebut membawa tandu yang kami pesan, Hamid pun dipindahkan ke dalam dan diangkat dengan segera menuju Masjidil Haram, saya dan Salleh mengiringkan di belakang menurut Badwi yang berjalan cepat itu. Setelah sampai di dalam masjid, dibawalah dia tawaf keliling Ka`bah tujuh kali. Ketika sampai yang ke tujuh kali diisyaratkannya kepada Badwi yang berdua itu menyuruh menghentikan tandunya di antara pintu


Ka`bah dengan batu hitam, di tempat yang bernama Maltezam, tempat segala doa yang makbul. Orang lain tawaf pula berdesak-desak. Dengan sifat sabar orang-orang Badwi mengangkat tandu ke dekat tempat yang tersebut. Hati saya sangat berdebar melihatkan keadaan itu, saya lihat muka Hamid, di sana sudah nampak terbayang tanda-tanda kematian. Sampai di sana dihulurkannya tangannya, dipegangnya kesoh kuat dengan tangannya yang telah kurus, seakan-akan tidak akan dilepaskannya lagi. Saya dekati dia, kedengaran oleh saya dia membaca doa demikian bunyinya:

" Ya Rabbi, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Ka`bah, rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan tangan memohon kurnia.

Kepada siapa lagi yang saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan Engkau ya Tuhanku! Tidak ada suatu tali pun tempat saya bergantung, lain daripada tali Engkau, tidak ada pintu yang akan saya tutup, lain daripada pintu Engkau.

Berilah kelapangan jalan buat saya, saya hendak pulang ke hasrat Engkau; saya menuruti orang- orang yang dahulu daripada saya, orang-orang yang bertali hidupnya dengan hidup saya.

Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada Engkaulah kami sekalian akan kembali….." Setelah itu suaranya tidak kedengaran lagi; di mukanya terbayang suatu cahaya muka yang jernih

dan damai, cahaya keredhaan daripada Ilahi.

Di bibirnya terbayang suatu senyuman dan….sampailah waktunya lepaslah ia daripada tanggungan dunia yang amat berat ini, dengan keizinan Tuhannya, di bawah lindungan Ka`bah!

Pada hari itu selesailah mayat sahabat yang dikasihi itu dimakamkan di perkuburan Ma`ala yang masyhur.

SURAT ROSNAH YANG MENYUSUL

Dua minggu sudah kejadian itu, datanglah surat Rosnah yang dijanjikannya kepada suaminya itu, demikian bunyinya:

" Kekanda yang tercinta!"

Adinda kirimkan surat ini menyusul surat kawat yang dahulu. Zainab meninggal. Apakah dari itu lagi yang harus adinda nyatakan? Dia telah menanggung penyakit dengan sabar dan tawakkal, mula-mula adinda hendak sampaikan khabar ini kepada Hamid, sebab sentiasa Hamid menjadi buah mulutnya sampai saatnya yang penghabisan, tiba-tiba kawat kekanda datang pula, Hamid telah menyusul kekasihnya.

Demikianlah kedua makhluk yang tidak beruntung nasibnya itu, mudah-mudahan arwahnya mendapat bahagia di akhirat.

Adinda harus mengaku, bahawa jarang sekali kita bertemu dengan seorang perempuan sebagai Zainab. Tidak ada orang yang tahu tentang keadaan dirinya, kecuali ibunya dan adinda. Pendengaran yang sampai kepadanya, bahawa Hamid ada di Mekah mengobarkan kembali akan api yang telah hampir padam.

Lima hari sebelum ia meninggal dunia, pagi-pagi benar dia sudah bangun dari tempat tidurnya, mukanya lebih jernih dari biasa. Dengan senyum dia berkata, bahawa dia bermimpi melihat


Ka`bah, dantara manusia yang sedang tawaf. Dia melihat Hamid melambaikan tangannya memanggil dia, supaya mendekatkan kepadanya, setelah dia mendekat dia terbangun…..

Lepas hari itu, tidak banyak bicara lagi, doktor pun datang juga memeriksai dia, tetapi ketika melihat wajahnya, mengertilah adinda, bahawa ubat yang dibawanya sebenar-benarnya ialah buat ibu Zainab, tidak buat Zainab lagi, sebab di tangga ketika dia akan pulang, jelas benar oleh adinda doktor itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pada malam 9 Zulhijjah panasnya naik daripada biasa. Kira-kira pukul dua tengah malam, dipandangnya adinda tenang-tenang, kemudian dilihatnya pula buku album yang terletak di meja tulisnya; adinda pun mengertilah apa yang dimaksudkannay. Adinda ambil album itu dan adinda buka. Demi dilihatnya gambar Hamid, jatuhlah dua titis airmata yang bulat dari mata yang telah cekung itu. Setelah itu diambilnya tangan ibunya, dibawanya ke dada. Maka dengan beransur- ansur, laksana lampu yang kehabisan minyak, bercerailah badannya dengan sukmanya.

Kekanda, demikianlah kematian zainab, dan sekarang suatu pula yang menjadikan was-was adinda, iaitu keadaan ibunya, bagaimanakah kelak perasaan perempuan itu kerana kehilangan anaknya.

Sekianlah dan buat semangat orang yang telah mati, adinda kirimkan salamku dan moga kekanda lekas pulang.

Adindamu

Rosnah

PENUTUP

Kian lama kian sunyilah tanah Mekah. Bukit-bukit yang telah gondola itu tegak dengan teguhnya laksana pengawal yang menyaksikan dan menjagai orang haji yang beransur pulang ke kampong masing-masing. Kedai-kedai kian sudah tutup, sebab 6 bulan pula lamanya pasar akan sepi. Tidak putus-putus unta berarak-arak diiringkan oleh gembalanya bangsa Badwi sambil bernyanyi- nyanyi.

Sehari sebelum kami meninggalkan Mekah, pergilah kami berziarah ke perkuburan Ma,ala tempat Hamid dikuburkan. Di sana masih bertemu kesannya, meskipun agak sukar mencarinya, sebab telah banyak pula orang lain yang berkubur. Saya hadapkan muka saya ke pusara itu dan saya berkata:

" Penghidupanmu yang tiada mengenal putus asa, kesabaran dan ketenangan hatimu menanggung sengsara, dapatlah menjadi tamsil dan ibarat kepada kami.

Engkau telah mengambil jalan yang lurus dan jujur di dalam memupuk dan mempertahankan cinta. " Allah adalah Maha adil, jika sempit bagimu dunia ini berdua, maka alam akhirat adalah lebih lapang dan luas, di sanalah kelak makhluk menerima balasan dari kejujuran dan kesabarannya; di sanalah penghidupan yang sebenarnya, bukan mimpi dan bukan khayalan.

" Kami pun dalam menunggu titah pula, sebab ada masanya datang dan ada masanya pergi. " Selamatlah, moga-moga Allah memberi berkat atas jiwamu dan jiwa Zainab."

Pukul empat petang kami tawaf keliling Ka`bah " Tawaf Wida" ertinya tawaf selamat berpisah. Sehari itu juga kami akan berangkat ke Juddah. Saudaraku Salleh belayar dengan kapal yang


menuju ke Mesir……

Dan kapalku memecahkan ombak dan gelombang menuju ke tanahair yang tercinta……….. TAMAT

" Dalam kerendahan diri, ada ketinggian budi, " Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa, " Dalam kesempitan hidup, ada keluasan ilmu,

" Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah S.W.T.

* Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)

* Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah Lindungan Kaabah.

* Cetakan : Pustaka Antara

0 Response to "Dibawah Lindungan Ka’bah 2"

Post a Comment

Translate

English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified